O&C Resources Bangunkan Projek Dengan GDV RM204 Juta

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) — O&C Resources Bhd (OCR) membeli 51 peratus kepentingan dalam Masbe Coffee Sdn Bhd (MCSB) pada harga RM5 juta secara tunai.

Dalam satu kenyataan hari ini, OCR berkata  pengambilalihan itu  memberikannya hak membangunkan sebidang tanah di Jalan Yap Kwan Seng dengan projek pembangunan hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggar RM204.94 juta.

Hari ini, OCR memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Makok Intl Sdn Bhd (MISB) bagi mengambil alih 51 saham biasa pada RM1 masing-masing, mewakili 51 peratus daripada modal terbitan dan berbayar MCSB.

Tanah berkenaan diluluskan untuk pembangunan satu blok pangsapuri perkhidmatan mengandungi 145 unit.

Apabila SSA itu selesai, MISB dan MCSB akan melaksanakan  perjanjian  usaha sama baharu (NJVA), katanya.

Pengarah Eksekutif OCR, Billy Ong Kah Hoe berkata pengambilalihan itu seiring dengan strategi syarikat untuk mengembang dan mempelbagai operasi perniagaanya dengan pertumbuhan lebih baik menerusi pembangunan hartanah selaku pemacu hala tuju syarikat pada masa depan.

Beliau berkata cadangan pembangunan dijangka dilaksanakan dalam tempoh setahun daripada tarikh kuat kuasa NJVA dan tempoh pembangunan adalah lebih tiga tahun.

“Kos pembangunan kasar yang dianggar bagi cadangan pembangunan ialah RM94.49 juta, akan diperoleh menerusi gabungan pengumpulan dana, dana dijana dari dalam dan pinjaman bank,” katanya.

— BERNAMA

SHARE:
Related Posts